KHALIFAH ABU BAKAR AS-SIDDIQ

Khalifah Abu Bakar As-Siddiq (Penyelamat umat Islam)

Khalifah Abu Bakar As-Siddiq merupakan  khalifah pertama bagi kerajaan Khulafa Ar-Rasyidin dan merupakan khalifah Islam pertama di muka bumi ini. Beliau banyak berjasa dalam mempertahankan kesucian dan mengekalkan perkembangan Islam selepas kewafatan Nabi Muhammad S.A.W.

Terdapat pelbagai kemajuan yang dilakukan oleh beliau yang merangkumi aspek akidah dan jihad dalam memantapkan kerajaan Islam dalam usaha mempertahankan agama Islam itu sendiri. Di bawah ini, adalah merupakan sumbangan beliau yang juga merupakan kemajuan semasa era pemerintahannya.

BIDANG KEAGAMAAN

Usaha-usaha pengumpulan Al-Quran telah dimulakan di zaman Khalifah Abu Bakar dimana  berlakunya perang menentang golongan murtad dan golongan yang enggan membayar zakat dalam perang Yamamah sehingga menyebabkan ramai penghafaz Al-Quran gugur di dalam peperangan tersebut. Ini menyebabkan timbulnya kesedaran dan keperluan menghimpunkannya oleh para sahabat agar tidak luput ditelan zaman yang dipelopori dan dicadangkan oleh Saidina Umar Al-Khattab dan telah dipersetujui oleh Khalifah Abu Bakar sendiri.

Untuk melaksanakan usaha ini, Zaid bin Thabit telah ditugaskan untuk melaksanakan usaha-usaha pengumpulannya dan beliau mengambil masa selama setahun bagi menyelesaikan tugasan ini dengan cara menemui para hufaz (penghafaz Al-Quran) dan menyalin daripada catatan-catatan.  Atas usaha inilah, Ali bin Abi Talib mengatakan bahawa “mudah-mudahan Allah mencucuri rahmat ke atas Khalifah Abu Bakar sebagai orang pertama yang mengumpulkan kitab Allah di antara dua Luh”

BIDANG PENTADBIRAN

Perlantikan Pengganti Khalifah

Khalifah Abu Bakar telah bertindak melantik pengganti selepasnya bagi mengelakkan perselisihan faham di dalam kalangan masyarakat. Ini berlaku ketika beliau hampir wafat, Khalifah Abu Bakar telah melantik Umar Al-Khattab sebagai pengganti khalifah bagi mengelakkkan pergaduhan dan perselisihan faham seperti mana yang berlaku semasa selepas kewafatan Rasullullah. Namun, beliau telah terlebih dahulu meminta persetujuan beberapa orang sahabat dan satu surat wasiat telah ditulis oleh Saidina Ustman bin Affan bagi mengesahkan perkara tersebut dan surat itu kemudiannya dibaca di depan orang ramai.

Mewajibkan Pembayaran Zakat

Pada zaman ini, khalifah Abu Bakar telah mewajibkan semua umat Islam membayar zakat kepadanya kerana terdapat perselisihan faham yang berlaku dalam masyarakat pada masa itu yang mengatakan bahawa kutipan zakat telah dimansuhkan selepas kewafatan Rasullulah.

BIDANG KETENTERAAN

Memerangi Nabi-nabi palsu

Khalifah Abu Bakar telah membuat keputusan untuk memerangi pengikut golongan-golongan  nabi palsu yang tumbuh bak cendawan selepas kewafatan Nabi Muhammad S.A.W yang banyak berpusat di Yamamah iaitu dari Bani Hanifah dimana muncul Musailamah Al-Kazzab dan dari Bani Mad terdapat Tulailah bin Khuailid dan seorang wanita yang bernama Sajjah dari Bani Tamim  yang mengaku sebagai nabi serta di Yaman pula, timbulnya pihak penyokong Aswad Al-Ansi dibawa pimpinan Qais bin Yaghus.

Kesemua mereka mengaku telah mendapat wahyu daripada Allah  dan  mendapat ramai penyokong dan pengikut. Ini berlaku kerana sifat assabiyah (sifat kepuakkan) yang masih tebal dikalangan mereka yang mana ianya berpunca daripada sikap mereka yang enggan membenarkan jawatan kenabian diwarisi oleh keturunan daripada Bani Hasyim sahaja dan bukan semata-mata kerana mereka mempercayai kebenaran yang dibawa oleh nabi-nabi palsu tersebut.

Memerangi Golongan Yang Enggan Membayar Zakat

Pada zaman ini, terdapat juga satu golongan yang enggan membayar zakat yang dipimpin oleh Malik bin Nuwairah dari Bani Tamim yang kebanyakkannya tinggal di Yaman, Yamamah dan Oman. Namun terdapat sebahagian kecil mereka yang tinggal berhampiran kota Madinah seperti kaum Akin dan kaum Zubyan. Punca utama keengganan mereka membayar zakat kerana mereka mengira bahawa Nabi Muhammad sahaja   yang berhak memungut dan menerima zakat seperti kononnya terdapat dalam surah At-Taubah, ayat 103!

Menghantar Usamah bin Zaid Untuk Memimpin Pasukan Tentera Bagi Memerangi Penduduk Ghassan Yang Terbantut Kerana Kewafatan Rasullulah.

Sebaik sahaja Saidina Abu Bakar As-Siddiq dilantik sebagai khalifah, beliau terus menggerakkan serta-merta pasukan tentera yang dipimpin oleh Usamah bin Zaid ke Ghassan yang tertangguh akibat kewafatan Rasullulah. Ini kerana, ketika peperangan Muktah dahulu, tiga orang pahlawan besar Islam termasuk ayah Usamah bin Zaid yakni Zaid bin Harithah telah tewas di tangan pasukan bersekutu Ghassan. Manakala semasa peperangan Tabuk, tentera Rom dan Ghassan telah mengundur diri dan menyebabkan Rasullulah S.A.W membentuk satu pasukan lain yang dipimpin oleh Usamah bin Zaid untuk menghadapi mereka tetapi tergendala kerana kewafatan baginda.  Dan setelah Saidina Abu Bakar As-Siddiq dilantik sebagai khalifah, barulah usaha ini disambung semula, meskipun dibantah oleh beberapa orang sahabat namun usaha ini diteruskan jua akhirnya. Dan hasilnya, Usamah telah membawa kemenangan Islam setelah berperang selama 40 hari.

Menentang Tentera Rom Dan Parsi

Dalam usaha mengembangkan Islam, Khalifah Abu Bakar As-Siddiq telah menghantar Khalid bin Said untuk menyebarkan dakwah di daerah Timamah, namun mendapat tentangan daripada Maharaja Rom iaitu Heraclius sehingga tercetusnya peperangan. Khalifah Abu Bakar telah mengutus pasukan tentera sebanyak 24 ribu orang sebagai bantuan yang diketuai oleh Abu Ubaidah Al-Jarrah.  Beliau telah menyusun tentera Islam kepada empat pasukan besar iaitu Abu Ubaidah Al-Jarrah untuk pergi menyerang pembesar Parsi yang bernama Hurmuz dan manakala Amru ibnul-Ass ditugaskan ke Palestin, Yazid bin Abu Sufyan ke Damsyik dan Syurahbil bin Hasanah ke Lembah Jordan. Namun begitu, tentera Islam mula mendapat kemenangan setelah dipimpin oleh Khalid bin Al-Walid setelah berjaya mengalahkan tentera Rom yang sebanyak 100 ribu orang pimpinan Theodore, saudara Heraclius Ajnadain pada 13 Hijrah. Seterusnya, Khalid bin Al-Walid menyerbu kota Damsyik dan berjaya memasukinya bersama-sama Abu Ubaidah, Amru dan Yazid.

Mengenai Parsi pula, terdapat banyak pertempuran di antara tentera Islam yang dipimpin oleh Al-Muthana  bin Harithah dengan pemberontak-pemberontak di kawasan Oman dan Bahrain. Khalifah Abu Bakar As-Siddiq telah mengutuskan Khalid bin Al-Walid yang baru sahaja selesai menghancurkan gerakan Musailamah Al-Kazzab di Yamamah. Kedatangan Khalid Al-Walid telah berjaya menakutkan negeri Iraq dan Hirah sehingga mereka menerima tawaran perjanjian damai dengan tentera Islam.  Selepas itu, beliau telah menakhluki Al-Anbar dan Ainut Tamar. Khalid bin Al-Walid telah mengutus utusan kepada Hurmuz yang merupakan wakil Parsi di Ubullah dekat Teluk Parsi dan dikemukakan dengan tiga pilihan; iatu memeluk Islam, membayar jizyah atau pun peperangan.  Maka berlakulah peperangan yang diberi nama sebagai Zatil Salasil dengan kemenangan di pihak Islam dan pelabuhan Ubullah dapat ditawan. Selepas itu, Khalifah Abu Bakar As-Siddiq telah memerintahkan Khalid Al-Walid menuju ke Syria untuk menggantikan Abu Ubaidah sebagai pemimpin tentera bagi menghadapi tentera Rom.

Sebagaimana yang dapat kita lihat, begitu banyak kemajuan yang dapat dicapai ketika zaman pemerintahan khalifah Islam pertama ini, yang sudah tentunya bukan dapat dicapai dengan begitu mudah sebaliknya dilakukan dengan penuh iltizam dan bersungguh-sungguh serta penuh kesabaran malah sanggup berkorban apa sahaja demi menyebarkan syiar Islam. Diharap para pembaca dapat mengambil pengajaran daripada kisah perjuangan dan usaha para sahabat dalam menegakkan panji-panji Islam di atas muka bumi ini supaya dapat dijadikan contoh tauladan kepada generasi muda pada masa kini dan masyarakat pada masa akan datang.

Demi memudahkan para pembaca sekalian, disini saya lampirkan beberapa rujukan yang saya gunakan untuk menulis kisah ini. Diharap ia dapat membantu dalam usaha pembaca untuk lebih memahami kisah ini.

Sekian Terima Kasih

YRC

Lampiran

 

 

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s