KEHANDALAN SEORANG ULAMA

Pada suatu ketika, kota Baghdad didatangi oleh seorang pendakwah Yahudi yang bernama Dahri. Kedatangannya mencetuskan kegemparan di kalangan umat Islam. Dahri cuba merosakkan pegangan umat Islam dengan membahas soal-soal yang berhubung-kait dengan ketuhanan. Dicabarnya para ulama di Baghdad untuk berdebat dengannya. Setiap kali cabarannya disahut, hujah-hujah Dahri tidak dapat dipatahkan sehingga akhirnya tidak ada lagi ulama Baghdad dan ulama-ulama di sekitarnya yang sanggup berhadapan dengannya.

Dari kejadian itu, tahulah Khalifah bahawa Baghdad sudah ketiadaan ulama yang benar-benar berwibawa dan tinggi ketakwaannya. Lalu Khalifah memerintahkan beberapa orang menteri meninjau ke daerah lain, kalau-kalau masih ada ulama yang boleh dibawa berdepan dengan Dahri. Akhirnya, wakil Khalifah menemui Imam Hammad bin Abi Sulaiman Al-Asy’ari, seorang ulama yang tidak kurang juga ketokohannya.

Khalifah memerintahkan supaya hari perdebatan antara Imam Hammad dan Dahri di segerakan. Dan majlis bersejarah itu mesti dibuat di Masjid Jamek di tengah-tengah kota Baghdad. Sehari sebelum pertemuan itu lagi, Masjid Jamek telah penuh sesak dengan orang ramai. Masing-masing menaruh harapan agar Imam Hammad berjaya menumbangkan Dahri kerana beliaulah satu-satu ulama yang diharapkan.

“Subhanallah….subhanallah…walahaulawala quwwata illa billahi ‘aliyyil ‘azim…!” Lidah Imam Hammad terus melafazkan kalimat mensucikan segala tohmahan yang tidak layak bagi Zat yang Maha Agung. Dia beristigfar terus. Rasanya dah tidak sanggup telinganya menadah bermacam tohmahan yang dilemparkan oleh Dahri yang biadap dan materialis itu. Mempertikaikan ke Esaan Allah S.W.T bukanlah perkara kecil dalam Islam. Ini kes berat! Hatinya cukup pedih. Roh ketauhidannya bergelora. Mahu rasanya dipenggal leher si Dahri yang angkuh itu di depan ribuan mata yang turut hadir dalam majlis itu.

Keesokannya, pagi-pagi lagi muncul Imam Hanifah, murid Imam Hammad yan paling rapat dengannya dan paling disayanginya. Namanya yang sebenar ialah Nu’man, yang ketika itu usianya masih lagi remaja. Bila ternampak keadaan gurunya itu, Abu Hanifah pun bertanya untuk mendapatkan kepastian. Lalu Imam Hammad menceritakan keadaan sebenar. Dalam pada masa itu, teringat Imam Hammad akan mimpinya malam tadi, lalu dikhabarkan kepada muridnya itu. Abu Hanifah mendengarnya dengan penuh khusyuk.

“…Aku bermimpi ada sebuah dusun yang amat luas lagi indah. Di sana ku lihat ada sepohon kayu yang rendang dan lebat buahnya.Tiba-tiba di situ, keluar seekor khinzir dari hujung sebuah kampung. Lalu habis dimakannya buah-buahan yang masak ranum dari pokok itu. Yang tinggal cuma batangnya sahaja. Dalam pada masa itu juga, keluar seekor harimau daripada umbi pokok rendang tadi lalu menerkam khinzir tadi dengan gigi dan kukunya yang tajam. Lalu, khinzir tadi mati di situ juga.”

Hammad termenung seketika. Kekalutan pemikiran yang telah dicetuskan Dahri, boleh menggugat pegangan akidah umat Islam dan ini tidak boleh dibiarkan. Mesti dihapuskan segera. Wajahnya yang tenang bagai air sungai yang mengalir jernih, masih banyak bercahaya walau di saat begitu genting. Satu kelebihan Abu Hanifah ialah beliau dikurniakan Allah ilmu mentafsir mimpi.sebagaimana Nabi Allah Yusuf. Pada pengamatannya juga, mimpi tersebut akan memberi petanda baik bahawa si Dahri pasti akan menerima padahnya nanti. Dan setelah mendapat keizinan gurunya, dia pun cuba mentafsirnya:

“ Apa yang tuan lihat dalam mimpi tuan sebagai dusun yang luas lagi indah itu adalah tafsiran kepada agama Islam kita. Pokok yang berbuah lebat itu adalah tafsiran kepada sekalian ulama. Manakala sepohon kayu yang masih tinggal itu adalah tuan sendiri. Dan khinzir yang tiba-tiba muncul dan merosakkan pohon tersebut ialah si Dahri. Manakala, harimau yang keluar lalu membunuh khinzir tadi…adalah saya…” jelas Abu Hanifah. Beliau juga memohon izin untuk membantu gurunya berdepan dengan si Dahri.

Betapa gembiranya hati Imam Hammad bila tercetusnya hasrat itu dari hati muridnya sendiri. Maka berangkatlah ilmuan muda itu bersama gurunya untuk pergi ke Masjid Jamek di mana majlis dialog itu akan diadakan yang dihadiri oleh orang ramai dan Khalifah sendiri. Seperti biasanya, sebelum menyampaikan dakyahnya, Dahri akan mencabar dan memperleceh-lecehkan ulama dengan bersuara lantang dari atas pentas.

“Hai Dahri, apalah yang digusarkan. Orang yang mengetahui pasti akan menjawabnya !. Tiba-tiba suara Abu Hanifah memeranjatkan Dahri dan menyentakkan kaum Muslimin yang hadir. Dahri sendiri terkejut dan matanya memandang tajam mata Abu Hanifah.

“ Siapa kamu hai anak muda? Berani sungguh menyahut cabaranku… sedangkan ulama yang hebat-hebat, yang berserban dan berjubah panjang dapat ku kalahkan…!” Lantang suara Dahri membidas Abu Hanifah.

“Wahai Dahri,” balas Abu Hanifah, “ sesungguhnya Allah tidak mengurniakan kemuliaan dan kebesaran itu pada serban atau jubahnya yang labuh. Tetapi Allah mengurniakan kemuliaan kepada orang-orang yang berilmu dan bertakwa. Abu Hanifah lalu membaca firman Allah S.W.T. yang bermaksud: “Allah telah meninggikan darjat orang yang beriman dan berilmu antara beberapa darjat.” (Al-Mujadalah :11)

Geram rasanya hati Dahri mendengar kepetahan lidah pemuda ini berhujah. Maka berlangsunglah majlis dialog. Perdebatan antara tokoh ad-Dahriyyah, yang terkenal dengan pemikiran materialis dan ateisnya itu, berlangsung dengan mendebarkan.

“Benarkah Allah itu wujud” soal Dahri memulakan majlis dialognya.

“Bahkan Allah memang wujud,” tegas Abu Hanifah.

“Kalau Allah memang maujud (wujud), dimanakah tempatnya…”Suara Dahri semakin meninggi.

“Allah tetap wujud tetapi dia tidak bertempat ! ” jelas Abu Hanifah.

“Hairan, engkau kata Allah itu wujud, tetapi tidak bertempat pula…?” bantah Dahri sambil melemparkan senyuman sinisnya kepada hadirin.

“ Ah, itu senang sahaja wahai Dahri. Cuba engkau lihat pada dirimu sendiri. Bukankah pada dirimu ada nyawa…” Abu Hanifah mula berhujah. Orang ramai mula memerhatikan gaya ilmuan muda ini berpidato dengan penuh minat.

“Bahkan, memang aku ada nyawa, dan memang setiap makhluk yang bernafas itu ada nyawa…!” sahut Dahri.

“ Tetapi, adakah engkau tahu di manakah letaknya nyawa atau pun rohmu itu…? Di kepalakah, di perutkah atau adakah di hujung tapak kakimu…” Terserentak Dahri seketika. Orang ramai mula berbisik sesama sendiri. Setelah itu, Abu Hanifah mengambil pula segelas susu lalu ditunjukkan kepada Dahri, seraya berkata: “Adakah dalam susu ini ada terkandung lemak…?”

Pantas Dahri menjawab, “Ya, bahkan ! ”

Abu Hanifah bertanya lagi, “Kalau begitu, di manakah lemak itu berada…? Di bahagian atasnya kah atau bawahkah…?” Sekali lagi Dahri tersentak, tidak mampu menjawab pertanyaan Abu Hanifah yang petah itu. “Untuk mencari di manakah beradanya roh dan jasad tersisip, dimanakah kandungan lemak dalam air susu ini pun kita tidak upaya, masakan pula, kita dapat menjangkau di manakah beradanya Zat Allah S.W.T. di alam maya ini? Zat yang telah mencipta dan mentadbir seluruh alam ini termasuk roh dan akal dangkal ini pun ciptaanNya, yang tunduk dan patuh di bawah urusan tadbir KerajaanNya yang Maha Agung…!”

Agak panjang Abu Hanifah menghurai. Suaranya keras sedikit. Suasana agak bingar. Dahri terpaku di kerusi. Terbungkam lidahnya. Merah mukanya. Kesabarannya mula terburai. Bila keadaan agak reda, Dahri membentangkan soalan.

“Hai anak muda ! Apakah yang wujud sebelum Allah ?. Dan apa pula yang muncul selepas Dia nanti…?” Semua mata tertumpu pada Abu Hanifah, murid Imam Hammad yang pintar ini.

“Wahai Dahri ! Tidak ada satu pun yang wujud sebelum Allah Ta’ala dan tidak ada sesuatu pun jua yang akan muncul selepasNya nanti…! Allah S.W.T. tetap Qadim dan Azali. Dia lah yang Awal dan Dialah yang Akhir.”, tegas Abu Hanifah, ringkas tapi padat.

“Pelik sungguh ! Mana mungkin begitu…Tuhan wujud tanpa ada permulaanNya? Dan mana mungkin Dia pula yang terakhir tanpa ada lagi selepasNya…?” Dahri cuba berdalih dengan logik nya

Dengan tersenyum, Abu Hanifah menjelaskan, “ Ya, dalilnya ada pada kamu sendiri! Cuba engkau lihat pada ibu jarimu itu. Jari apakah yang kau lihat sebelum jari ini…?” sambil menuding jarinya ke langit. Dan beberapa hadirin turut berbuat kemudian. “Dan pada jari manis engkau itu, ada lagikah jari selepasnya…” Dahri membelek-belek jari-jemarinya.

Tidak terfikir dia bahawa persoalan sekecil itu yang diambil oleh Abu Hanifah. “Jadi…! Kalaulah pada jari kita yang kecil ini pun tidak mampu kita fikir, apatah lagi Allah Ta’ala, Zat Yang Maha Agung itu, yang tiada suatu pun yang mendahuluiNya dan tidak ada sesuatu pun yang kemudian selepasNya.”

Sekali lagi, Dahri tercengang. Bungkam. Namun masih belum lagi berputus-asa untuk mematahkan hujah anak muda yang telah memalukannya di khalayak ramai. Khalifah memerhatikan sahaja gelagat Dahri dengan penuh tanda tanya. Dahri berfikir seketika, mencari jalan, mencari idea. Semacam satu ilham baru telah menyuntik mindanya, ia pun tersenyum. Hati Dahri bergelodak bagai air tengah mengelegak.

“ Ini soalan yang terakhir buatmu, hai anak mentah!” Sengaja Dahri mengeraskan suaranya agar rasa malunya tersenbunyi.

“Khabarkanlah wahai Dahri, akan tetap ku sahut, Insyaallah !” tegas Abu Hanifah.

“Allah itu ada katamu. Ha ! Apakah pekerjaan Tuhanmu ketika ini?” Soalan tersebut membuat Abu Hanifah tersenyum riang.

“Ini soalan yang sungguh menarik. Jadi kenalah dijawab dari tempat yang tinggi supaya dapat di dengar oleh semua orang” katanya. Pemuka ideologi ad-Dahriyyun yang menyedari bahawa mentalitinya telah dicabar terus berjalan meninggalkan mimbar Masjid Jamek, untuk memberi tempat kepada Abu Hanifah. Sambil berdiri gagah di atas mimbar, berteriaklah Abu Hanifah: “Wahai sekalian manusia. Ketahuilah bahawa kerja Allah ketika ini adalah menggugurkan yang batil sebagaimana Dahri yang berada diatas mimbar telah diturunkan ke bawah mimbar. Dan Allah juga telah menaikan yang hak sebagaimana aku, yang berada di bawah mimbar sana, telah dinaikkan ke atas mimbar Masjid Jamek ini…!”

Bagikan halilintar, hujah Abu Hanifah telah menerjah kedua-dua pipi Dahri. Seiring dengan itu, bergemalah pekikan takbir dari orang ramai. Mereka memuji-muji kewibawaan Abu Hanifah yang telah berjaya menyelamatkan maruah orang Islam dari lidah Dahri yang sesat lagi menyesatkan itu.

Sehingga ke hari ini, nama Imam Abu Hanifah terus dikenali di serata dunia sebagai seorang fuqaha dan salah seorang daripada Imam Mujtahid Mutlak yang empat. Kemunculan Mazhab Hanafi dalam fiqh Syar’iyyah, juga mengambil sempena nama ulama ini.

NOTA

Penulis betul-betul berharap yang para pembaca yang telah membaca blog ini agar men “follow”  blog ini atau meletakkan status “like” di facebook serta menyebarkan mengenai blog ini kepada kenalan anda yang lain agar perkembangan blog ini dapat diteruskan.

YRC

Khairul Ghazali, (2007). “Ketawa dan Tangis Manusia”. 15A, Tingkat 1, Wisma Yakin, Jalan Masjid India, 50100, Kuala Lumpur. Darul Nu’Man. Tajuk 132 (m.s112). http://www.darulnuman.com

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s