KHALIFAH UMAR AL-KHATTAB

Khalifah Umar Al-Khattab (Pemisah Hak dan Batil)

Khalifah Umar Al-Khattab merupakan khalifah Islam kedua menggantikan Khalifah Abu Bakar As-Siddiq  yang wafat dan juga merupakan khalifah yang paling banyak melakukan perubahan pada zaman pemerintahan Khulafa Ar-Rasyidin.

Beliau merupakan seorang yang adil dan tegas dalam pemerintahan dan seorang yang bijaksana dalam menyusun dan menguruskan pentadbiran dan menyelesaikan masalah negara. Beliau juga sangat terkenal kerana merupakan sahabat Nabi Muhammad S.A.W. yang paling tinggi akalnya. Dibawah ini  merupakan antara perubahan yang telah dilakukan pada zaman pemerintahan beliau.

BIDANG PENTADBIRAN

Menyusun Semula Majlis Syura

Khalifah Umar Al-Khattab telah membuat keputusan untuk menyusun semula majlis Syura bagi memudahkan urusan pentadbiran negara dan mendengar aduan daripada rakyat jelata. Beliau telah menyusun semula majlis ini menggunakan prinsip ‘syura’ dengan membentuk Majlis Tertinggi dan Majlis Umum yang mempunyai fungsi dan bidang kuasa yang berbeza-beza. Majlis tertinggi adalah semacam jawatan kuasa kabinet yang terdiri daripada tokoh-tokoh besar seperti Ustman bin Affan, Ali bin Abi Talib, Zaid bin Thabit, Abdul Rahman bin Auf, Saad bin Abi Waqas dan Muaz bin Jabal dan Majlis Umum pula bertindak sebagai penghubung dengan rakyat dan bersifat terbuka yang mana rakyat boleh membuat aduan dan menyuarakan pandangan terus kepada khalifah Umar Al-Khattab sendiri dan majlis ini terletak di masjid.

Menyusun Semula Pentadbiran Wilayah

Khalifah Umar telah melaksanakan dasar pentadbiran wilayah yang baru dengan membahagikan wilayah kepada lapan bahagian iaitu Mekah, Madinah, Sham, Basrah, Syria, Kufah dan sebagainya yang masing-masingnya mempunyai seorang Gabenor, seperti Amru ibnul-Ass, Muawiyah bin Abu Sufyan, Abu Musa Al-Shaari, Al-Mughirah bin Abu Shu’ah, Abu Aidah Al-Jarrah dan lain-lainnya.

Melantik Gabenor

Seperti mana yang dinyatakan diatas, Khalifah Umar Al-Khattab telah mengadakan jawatan Gabenor (wakil khalifah) di wilayah yang ditakhluk. Para Gabenor tersebut bertanggungjawab menjalankan pentadbiran dengan adil dan menjalankan segala polisi yang ditetapkan oleh khalifah.

Menubuhkan Jabatan Baru

Khalifah Umar Al-Khattab telah menubuhkan banyak jabatan baru bagi melicinkan pentadbirannya dan bagi memudahkan beberapa urusan penting  yang memerlukan tindakan segera seperti ketenteraan dan penghakiman.

Antara jabatan yang ditubuhkan oleh Khalifah Umar Al-Khattab ialah:

Dewan Al-Jundi

merupakan jabatan ketenteraan untuk mengatur latihan ketenteraan dan mengendalikan urusan ketenteraan.

Dewan Al-Kharaj

dewan ini ditubuhkan oleh khalifah untuk memudahkan pemungutan cukai dengan lebih berkesan dengan cara menghantar pemungut cukai ke kawasan yang jauh untuk memungut cukai dan menyebabkan hasil pendapatan negara bertambah banyak kerana adanya pegawai-pegawai yang cekap.

Jabatan Polis

ditugaskan untuk menjaga keselamatan penduduk dan orang awam bagi menjamin keamanan masyarakat dan negara.

Jabatan Kadi

menyelesaikan masalah salah faham dalam masyarakat dan jenayah dengan cara bertindak sebagai hakim

Memisahkan Kuasa Kehakiman Dari Pemerintahan

Khalifah Umar Al-Khattab telah melakukan suatu tindakan yang mendahului sejarah apabila beliau menjalankan sistem pentadbiran yang dalam istilah perundangan moden dipanggil sebagai  perasingan kuasa ‘separation power’. Meski pun caranya agak berbeza dengan fahaman politik dan amalan masa kini, tetapi Khalifah Umar telah berjaya menjalankannya apabila para kadi diberikan kebebasan untuk menjalankan tugas-tugasnya, tanpa ditakutkan-takutkan oleh kuasa -kuasa politik. Pernah terjadi seorang Muslim meminta fatwa daripada Hakim Ali bin Abi Talib, sedangkan Khalifah Umar Al-Khattab tidak bersependapat dengan Hakim Ali bin Abi Talib. Namun Khalifah Umar Al-Khattab tidak bertindak agar keputusannya yang dipakai, apa lagi untuk memecat Hakim yang bertentangan pendapat dengannya.

BIDANG EKONOMI

Menubuhkan Baitul-Mal (perbendaharaan)

ditubuhkan untuk mengurus cukai dan cukai dibahagiakan kepada beberapa kategori iaitu:

Kutipan zakat

Usyur (zakat tanaman) iaitu 1/10 jika menggunakan air hujan atau 1/20 jika menggunakan tenaga

Bagi orang bukan Islam pula dikenakan cukai kharaj (cukai kepala) serta cukai jizyah (cukai kerana tinggal dalam negara Islam)

Baitul-Mal juga memperoleh harta daripada Al-Fai iatu harta rampasan perang tanpa peperangan dan Ghaminah iaitu harta rampasan perang.

Membuat Undang-undang Tanah dan Pajakan

Semasa pemerintahan Khalifah Umar Al-Khattab, beliau telah menghapuskan pemerasan tuan-tuan tanah (lands lord) dan beliau juga telah mengarahkan supaya menguruskan kebun-kebun terbiar  dan membuka kebun-kebun baru.

Membina Terusan dan Empangan

Khalifah Umar Al-Khattab juga telah membina sebuah empangan sejauh 111 kilometer yang diberi nama Empangan Amirul Mukminin dan Empangan Abu Musa dengan tujuan untuk memudahkan pengairan untuk tujuan pertanian.

BIDANG PENDIDIKAN

Dari segi pendidikan, khalifah telah mendirikan banyak pusat-pusat pengajian Islam di kota-kota Basrah, Kufah, Fustat dan sebagainya. Guru-guru agama juga telah dihantar ke pusat-pusat ini sehingga lahirnya ilmu-ilmu baru seperti ilmu Qira’at dan penyebaran ilmu hadis.

BIDANG KETENTERAAN

Gerakan ketenteraan yang dilancarkan oleh Khalifah Umar Al-Khattab lebih banyak tertumpu kepada jajahan-jajahan Rom dan wilayah Parsi. Tindakan pertama Khalifah Umar Al-Khattab dalam bidang ketenteraan ialah memecat Khalid bin Al-Walid dan diganti oleh Abu Ubaidah Al-Jarrah.

Menentang Rom Dan Membuka Baitul-Maqdis

Abu Ubaidah telah memimpin tentera Islam seramai 24 ribu orang untuk menentang tentera Rom yang dipimpin oleh Jabalah ibnul-Aiham, raja terakhir negeri Ghassan yang diberi bantuan  oleh Mahan daripada Armenia. Maka berlakulah Peperangan Yarmuk pada 636 M dan kemenangan berpihak kepada tentera Islam.

Dalam pada masa itu juga, Abu Ubaidah dan Khalid bin Al-Walid telah menakhluki Hems,Hama, Qinnistria, Laziqiyah dan Aleppo. Amru dan Shurahbil pula berjaya merebut Acre, Haifa, Jaffa, Ghazzah dan lain-lainnya, kecuali Baitul-Magdis sahaja yang belum menyerah. Namun, akhirnya Jurusalem menyerah diri kepada Khalifah Umar Al-Khattab sendiri pada 15 H melalui perjanjian damai.

Pembukaan Mesir

Seterusnya, Amru mara ke Bulbais dengan menghadapi tentera Rom pimpinan Artibun dan disini juga tentera Islam mendapat kemenangan, tetapi dalam pertempuran Ummu Dunain pula, tentera Islam kemudiannya mengalami kesukaran. Tentera Islam telah bertempur dengan tentera Rom pimpinan Theodore yang berjumlah 20,000 di Ainus-Sham dan berjaya memenanginya.

Tentera Muslim terus mara ke Iskadariah, ibu kota Mesir namun mengalami kesukaran untuk menawannya kerana bentengnya agak kuat sehingga melemahkan semangat tentera Islam. Khalifah Umar Al-Khattab  telah mengutus surat untuk membidas sikap tersebut dan barulah tentera Islam bertekad berjuang habis-habisan sehingga sanggup memanjati tembok tersebut. Ini menyebabkan tentera Parsi melarikan diri dan tentera Islam berjaya memperoleh kemenangan.

Menakhluk Parsi

Khalifah Umar Al-Khattab telah mengirimkan bantuan tentera yang disertai Abu Ubaid Al-Saqaty dan Sulait Al-Ansary kepada Al-Muthana yang baru mengambil alih pimpinan Khalid Al-Walid dulu. Maka berlakulah Peperangan Jambatan sebanyak dua kali berhampiran Al-Hirah pada 13 H. Namun begitu, tentera Parsi yang dipimpin oleh Rustum telah mencapai kemenangan sehingga Abu Ubaid dan Sulait sendiri terbunuh. Untuk menebus kekalahan tersebut, Khalifah Uamr Al-Khattab telah menghantar satu pasukan tentera pimpinan bersama Al-Muthana dan Jarir bin Abdullah dan berhasil mengalahkan tentera Parsi.

Kemenangan ini mendorong Khalifah Umar Al-Khattab untuk melantik Saad bin Abi Waqas mengetuai angkatan tentera seramai 10,000 orang untuk menghadapi tentera Parsi yang berjumlah 120,000  orang pimpinan Rustum. Ketika bertemu, kedua-dua belah pihak cuba mencari jalan penyelesaian agar peperangan tidak berlaku namun gagal. Akibatnya, tercetuslah Pertempuran Al-Qadisiyah yang hebat selama tiga hari yang menyebabkan kekalahan teruk di pihak Parsi, sementara tentera Islam telah memperoleh banyak harta rampasan perang. Tentera Islam akhirnya meneruskan kemaraan dengan merampas Bahrain yang terletak di bahagian bandar Madain. Seterusnya, tentera Islam telah menyerang Helwan dan berjaya menawannya.

Kemudian, tentera Islam telah bertempur dengan 100 ribu orang tentera Parsi pimpinan Firzan di Nihawand. Dalam Pertempuran Nihawand pada 19 H ini, tentera Islam telah mencapai satu kemenangan gemilang. Bagi menamatkan siri ini, tentera Islam terus menakhluki Ahwaz, Kashan, Qam dan Azerbaijian.

Lain-lain Bidang

Khalifah Umar bin Al-Khattab telah memperkenalkan takwim Islam (kalendar Hijrah)  buat pertama kalinya.

Pendapat Penulis

Kehebatan dan kebijaksaan Khalifah Umar Al-Khattab memang tidak dapat dinafikan lagi dengan corak pemerintahannya yang adil dan telus serta perancangan pentadbirannya yang mendahului zaman selepasnya adalah agak mengagumkan. Beliau patut dicontohi kerana sifatnya itu terutamanya kepada para pemimpin pada masa kini dan akan datang. Alangkah bertuahnya dunia ini atau secara khususnya negara Malaysia jika terdapat pemimpin seperti Umar Al-Khattab yang memimpin kita pada masa ini.

Bagi memudahkan pembaca lebih memahami mengenai susur galur tindakan dan pahit getir yang terpaksa dihadapi oleh manusia agung ini, disini saya lampirkan rujukan untuk pembaca gunakan bagi mengkaji lebih lanjut tentang khalifah kedua Islam ini.

YRC

Lampiran

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s