DORAEMON MOVIE: NOBITA AND THE HERO

Sinopsis

Filem Doraemon yang ditayangkan kali ini adalah filem “remake” atau pun di perbaharui atau kata mudahnya ialah filem yang dibuat semula berdasarkan jalan cerita yang sama dari filem terdahulu tetapi terdapat sedikit perubahan daripada segi perspektifnya.  Tujuan utama pembikinan filem “remake”  ini ialah untuk menambah-baik kisah-kisah Doraemon yang terdahulu bagi memastikan ia kekal relevant untuk ditonton oleh generasi masa kini.

Filem Doraemon kali ini adalah mengisahkan tentang sekumpulan manusia daripada angkasa lepas yang menemui sebuah planet baru yang kaya dengan pelbagai sumber mineral. Kekayaan tersebut menyebabkan kehidupan mereka menjadi tidak aman kerana sering diganggu oleh lanun yang inginkan mineral yang bernilai itu.

Kisah ini bermula apabila Nobita secara tiba-tiba bermimpi tentang sekumpulan manusia yang berada di angkasa lepas yang sedang  dalam perjalanan untuk berpindah ke planet baru. Dalam usaha itu, mereka menghadapi sedikit kesulitan apabila kapal mereka telah terperangkap di dalam satu ribut tenaga di angkasa lepas dan sistem enjin kapal angkasa tersebut pula rosak. Bagi membaiki kerosakan tersebut, salah seorang daripada kru kapal mereka yang bernama Professor Wanz telah keluar daripada kapal dan tanpa disangka kru tersebut telah terjatuh daripada kapal angkasa dan disedut masuk ke dalam ribut tersebut setelah sistem enjin kapal berjaya dipulihkan.

Kemudian Nobita telah tersedar daripada mimpi dan menceritakannya kepada Doraemon namun tidak diperdulikannya. Doraemon telah mengingatkan Nobita tentang perjumpaannya dengan Giant pada petang tersebut. Giant sebenarnya telah merancang supaya Nobita dihantar sebagai wakil kumpulan mereka untuk mengambil semula padang base ball yang telah dirampas oleh sekumpulan pelajar sekolah menengah. Dan disebabkan itu, Nobita telah dikejar oleh kumpulan pelajar tersebut yang enggan menyerahkan semula padang itu kepada mereka. Ketika melarikan diri, Nobita telah terjatuh ke dalam sebuah lubang dan tertidur di dalam lubang tersebut.

Semasa tidur, Nobita telah bermimpi bahawa seorang budak lelaki bernama Loppic dan haiwan peliharaannya, Chammy telah dikejar oleh sekumpulan lanun di angkasa lepas. Dan selepas itu, Nobita telah tersedar daripada mimpi setelah dikejutkan oleh Giant dan Sunyo yang datang mencarinya untuk bertanyakan mengenai perihal padang tersebut. Giant berasa sangat marah ketika diberitahu oleh Nobita bahawa dia gagal mendapatkan semula padang tersebut lalu mengejar Nobita untuk dibelasahnya.

Nobita cuba menyembunyikan diri di rumah Suzuka dengan memanjat pokok di sebelah beranda rumahnya namun gagal kerana terjatuh lalu pengsan. Sekali lagi, Nobita telah bermimpi mengenai Loppic dan haiwan peliharaannya yang telah terperangkap di ruang dimensi yang tidak diketahui. Mereka cuba keluar dari situ dengan cara membaiki enjin kapal namun gagal kerana pintu yang membawa mereka ke bilik enjin telah mengeluarkan udara yang aneh. Udara yang keluar dari bilik tersebut telah menyebabkan mereka berdua menjadi sesak nafas dan memaksa mereka untuk membatalkan niat bagi membaiki enjin kapal tersebut.

Setelah itu, Nobita telah sedar daripada pengsan, di mana Giant dan Sunyo sedang menanti untuk memukulnya tetapi berjaya diselamatkan oleh Suzuka. Mereka akhirnya bersepakat untuk  meminta pertolongan Doraemon bagi menyelesaikan masalah padang tersebut. Namun begitu, Doraemon tidak dapat membantu kerana tiada kawasan yang sesuai untuk menggantikan padang tersebut.

Pada malam itu juga, sesuatu yang ganjil telah berlaku di mana secara tiba-tiba lantai kayu dibawah tilam Nobita telah bergegar sehingga Nobita menyangka bahawa telah berlaku gempa bumi. Tetapi sangkaan Nobita meleset kerana perkara tersebut tidak berlaku. Kemudian, telah muncul pula seekor haiwan aneh yang datang dari bawah lantai kayu di bilik Nobita dan meluru masuk ke dapur untuk mencari makanan. Haiwan itu akhirnya melarikan diri setelah terserempak dengan  Nobita dan Doraemon.

Mereka berdua telah mengejar haiwan terbabit dan berhasil menahannya setelah haiwan tersebut menjadi terlalu penat untuk melarikan diri. Nobita sendiri telah bertanya perihal Loppic kepada haiwan tersebut yang bernama Chammy dan beliau telah menunjukkan laluan yang digunakan untuk masuk ke dalam bilik Nobita.  Mereka menjadi amat terperanjat setelah melihat terdapat satu laluan dimensi dibawah lantai kayu di bilik Nobita yang bersambung terus ke kapal angkasa milik Loppic.

Doraemon dan Nobita segera masuk ke dalam kapal angkasa milik Loppic melalui lantai kayu tersebut dan menyelamatkan Loppic yang pengsan akibat kelaparan. Mereka berdua telah memberi Loppic dan Chammy makanan dan memperkenalkan diri mereka kepada Loppic dan Chammy. Doraemon telah meminta penjelasan Loppic mengenai ruang dimensi yang muncul dari bawah lantai kayu di bilik Nobita yang bersambung ke kapal angkasa miliknya. Loppic telah menerangkan bahawa hal ini mungkin berlaku kerana kegagalan salah satu sistem enjin kapal tersebut yang dipanggil sebagai “warp” berfungsi dengan baik semasa mereka cuba melarikan diri daripada dikejar lanun.

Nobita dan Doraemon telah menawarkan bantuan untuk membaiki pesawat Loppic supaya mereka dapat pulang ke planet mereka dengan selamat menggunakan alat-alat milik Doraemon. Doraemon telah mengeluarkan satu alat yang bernama “gegelung perentas ruang”, bagi membolehkan mereka masuk ke bilik enjin melalui dinding kerana pintu masuk asalnya telah bersambung ke bilik Nobita. Kemudian, Doraemon telah menggunakan “kain masa” untuk membaiki enjin pesawat yang rosak bagi membolehkan Loppic dan Chammy meneruskan perjalanan pulang ke planet mereka dengan selamat.

Pada keesokkan harinya, Nobita telah meneruskan persekolahan seperti biasa dan dia masih lagi dibelenggu dengan masalah Giant dan Sunyo yang masih  mencarinya kerana isu padang tersebut. Ini menyebabkan Nobita terpaksa menyembunyikan diri dan pulang ke rumah secara senyap-senyap bagi mengelakkan dirinya dikesan oleh mereka berdua.

Kemudian, Nobita dan Doraemon merasa amat terkejut setelah mendapati yang lantai kayu di bilik mereka masih lagi bersambung dengan kapal angkasa milik Loppic. Mereka berdua telah masuk sekali lagi ke dalamnya bagi melihat apa yang telah berlaku. Mereka berdua telah mendapati bahawa mereka berada di sebuah planet yang tidak dikenali. Disana, mereka menjumpai ikan aneh yang berbentuk seperti katak dan secara tiba-tiba, muncul pula ombak tsunami yang datang secara misteri lalu menenggelami planet tersebut.

Ini memaksa mereka melarikan diri ke tempat tinggi namun gagal dan mereka telah dihanyutkan oleh air ombak tersebut. Doraemon dan Nobita telah terselamat daripada dihayutkan ombak dan mereka telah berteduh di dalam “rakit penyelamat” sehingga lah air tersebut surut.

Keesokkan harinya, Loppic dan keluarganya menjadi sangat terkejut apabila melihat rakit tersebut dan tidak menyangka bahawa ianya milik Doraemon dan Nobita. Doraemon dan Nobita menjelaskan bahawa tujuan kedatangannya adalah untuk memastikan beliau telah selamat tiba di planet tersebut. Mereka juga menjadi gempar kerana mendapati bahawa hangar milik keluarga Loppic telah hilang dihanyutkan ombak disebabkan oleh perbuatan Doraemon dan Nobita.

Doraemon dan Nobita telah meminta maaf kepada Loppic dan keluarganya diatas masalah yang berlaku. Mereka segera keluar untuk mencari hangar tersebut. Dalam perjalanan itu, mereka telah singgah ke ladang milik Morina yakni anak perempuan kepada kru yang hilang dalam ribut tenaga semasa dalam perjalanan untuk berpindah ke planet ini. Kedatangan mereka telah disambut dingin oleh Morina.

Mereka semua telahberedar daripada situ setelah melihat bahawa kapal lanun di planet tersebut sedang menuju ke arah ladang itu. Loppic telah menerangkan kepada mereka berdua tentang asal-usul planet tersebut dan mengapa terdapat banyak lanun disitu. Kehadiran lanun disitu adalah kerana mereka mahu mengutip planktonik iaitu sejenis sumber mineral di planet tersebut yang sangat berharga.

Mereka semua akhirnya menjumpai semula hangar milik Loppic dan meletakkan semula ke rumahnya. Kemudian, mereka semua pulang semula ke rumah masing-masing. Selepas itu, Doraemon dan Nobita telah mengajak rakan-rakan mereka yang lain untuk pergi ke planet tersebut untuk bermain. Tetapi semuanya menjadi kacau apabila lanun tersebut mengejar mereka kerana mereka telah merosakkan kapal lanun tersebut secara tidak sengaja menggunakan bola besbol. Ini menyebabkan Doraemon dan rakan-rakannya yang lain pulang ke rumah dalam keadaan hampa dan mereka juga turut memarahi Doraemon dan Nobita kerana membawa mereka ke tempat tersebut.

Setelah kejadian itu, Nobita telah menghabiskan masanya di rumah dengan membuat latihan menembak bagi membantu Loppic serta penduduk planet tersebut daripada lanun. Tetapi secara tiba-tiba Dorami telah datang ke bilik Nobita untuk membawa Doraemon menjalani pemeriksaan harian di hospital. Doraemon yang enggan membuat pemeriksaan tersebut telah bertindak melarikan diri namun berjaya ditangkap oleh Dorami menggunakan “tangan memanjang” sebelum dibawa ke masa depan.

Melihat keadaan tersebut, Nobita telah membuat keputusan untuk pergi berjumpa Loppic seorang diri tetapi secara tidak sengaja beliau telah tergelincir dan terjatuh ke dalam lorong dimensidan telah pergi ke dunia lain. Disana, beliau telah terjumpa dengan banyak makhluk yang menakutkan sebelum diselamatkan oleh Dorami menggunakan alat tadi. Apabila Dorami telah pulang, Doraemon dan Nobita telah meneruskan rancangan mereka bagi membantu Loppic.

Ketika sampai disana, mereka berdua telah mendapati yang kapal milik Loppic telah dikejar oleh lanun-lanun tersebut ketika sedang membeli keperluan untuk sumber pertanian. Lalu Doraemon sekali lagi datang memberikan bantuan kepada mereka dengan mengeluarkan “kain pengelak” bagi menghalang lanun-lanun tersebut daripada terus mengejar mereka dan menyebabkan pesawat lanun tersebut terhempas. Malang bagi mereka juga apabila kapal angkasa milik Loppic juga turut rosak ketika berlaku insiden kejar-mengejar tadi sehingga memaksa mereka membuat pendaratan kecemasan bagi membaiki kerosakkan kapal tersebut.

Selepas itu, Doraemon telah mengeluarkan alat yang bernama “gula-gula angkasa” yang bertindak sebagai pakaian angkasawan setelah dikunyah bagi membolehkan mereka bernafas di angkasa lepas. Mereka semua telah keluar dari kapal angkasa tersebut dan pergi memeriksa kapal lanun tadi tetapi  mereka  telah dikejar oleh lanun yang marah dengan tindakan mereka. Bagi mempertahankan diri, Nobita secara tidak sengaja telah menembak lanun-lanun tersebut menggunakan pistol mainan dan berjaya menumbangkan mereka semua. Ini menyebabkan lanun-lanun tersebut menjadi bertambah marah.

Doraemon telah menyedari sesuatu yang mengejutkan mengenai planet tersebut apabila mendapati bahawa daya tarikan graviti di planet tersebut adalah tersangat rendah berbanding di bumi sehingga membolehkan Nobita dan dirinya bergerak lebih pantas dan mempunyai kekuatan luar biasa. Doraemon dan Nobita telah menggunakan kebolehan ini untuk menewaskan lanun-lanun tersebut dengan mudah. Keadaan ini menyebabkan Nobita merasakan apa yang telah berlaku ini adalah cuma satu mimpi sahaja. Bagi memastikan perkara tersebut, Doraemon telah mengeluarkan alat “pemeriksa mimpi” bagi mengetahui yang kejadian ini merupakan satu mimpi atau pun realiti.

Seterusnya, Loppic telah menceritakan peristiwa tersebut kepada penduduk planetnya namun mereka tidak mempercayai kata-kata Loppic kerana tidak ada bukti untuk mengesahkan perkara tersebut. Ini menyebabkan Loppic menjadi begitu sedih kerana perkara itu dan ditambah pula dia dituduh cuba untuk mengada-ngadakan cerita. Kemudian, Loppic telah memberikan pistol kepunyaan bapanya dan bunga salji kepada Nobita sebagai tanda persahabatan dan mereka berdua telah berikrar untuk mengembalikan keamanan di planet tersebut.

Di rumah Nobita, beliau sekali lagi telah dihalang keluar bermain oleh mamanya kerana mendapat markah kosong di dalam peperiksaan. Tetapi perkara tersebut  tidak sekali-kali dapat menghalang dirinya dan Doraemon untuk pergi ke planet Loppic. Disana, lanun-lanun tersebut pula tidak henti-henti membuat kekacauan di planet tersebut dengan merosakkan tanaman milik penduduk. Ini memaksa Doraemon dan Nobita keluar membantu dengan menewaskan lanun-lanun tersebut. Berita mengenai perkara ini telah tersebar luas di kalangan para penduduk serta menjadi buah mulut harian mereka sehingga ada yang menganggap Doraemon dan Nobita sebagai hero mereka.

Kedatangan Doraemon dan Nobita tidak disenangi oleh lanun-lanun tersebut, mereka telah memasang perangkap untuk menangkap mereka berdua yang selalu menganggu kerja-kerja mengutip sumber mineral di planet tersebut. Mereka telah meracuni air sungai di disana bagi mengumpan Doraemon dan Nobita keluar. Rancangan mereka ini berjalan dengan lancar apabila Doraemon dan Nobita pergi menyiasat punca sebenar keracunan air tersebut sehingga menyebabkan tanaman penduduk menjadi layu dan ikan hampir mati. Lanun-lanun tersebut gagal menangkap mereka kerana rancangan tersebut dapat dipatahkan oleh mereka berdua dengan menggunakan kekuatan luar biasa yang mereka miliki.

Selepas itu, ketua lanun tersebut telah merancang untuk meletupkan planet tersebut dengan menggunakan “core devastator” bagi mendapatkan sumber mineral di planet tersebut secara mudah. Mereka juga bertindak memperdaya Morina dengan menfitnah penduduk planet tersebut dengan mengatakan bahawa para penduduk telah memilih untuk tinggal di planet ini kerana ingin mendapatkan sumber mineral di planet itu untuk dijual dan mereka juga telah membiarkan ayahnya disedut ke dalam ribut tenaga dan tidak memberikan apa-apa  bantuan kepadanya kerana mahu melaksanakan hasrat tersebut.

Tujuan utama lanun-lanun tersebut mengatakan demikian adalah kerana mereka mahu Morina membuka mulut bagi mendapatkan maklumat tentang cara yang digunakan oleh Doraemon dan Nobita untuk sampai ke planet tersebut. Ini bagi membolehkan mereka  menghalang Doraemon dan Nobita daripada terus datang ke planet itu lagi dan menganggu aktiviti mereka. Apabila maklumat tersebut telah diketahui, lanun-lanun tersebut telah bergegas pergi ke arah kapal angkasa milik Loppic dan memasang bom pada pintu yang menyambungkan laluan antara bilik Nobita dan kapal tersebut.

Setelah itu, kumpulan lanun tersebut telah memberi amaran kepada para penduduk supaya meninggalkan planet tersebut dengan segera kerana ianya akan meletup tanpa memberitahu puncanya. Ini menimbulkan perasaan panik di kalangan penduduk dan mereka mendesak Loppic supaya meminta pertolongan Doraemon dan Nobita namun Morina membantah kerana baginya masalah yang mereka hadapi ini merupakan urusan dalaman mereka dan tiada kena mengena dengan Doraemon dan Nobita.

Morina juga turut membidas sikap penduduk disitu yang terlalu bergantung kepada orang lain dan serta bersikap mementingkan diri sehingga ayahnya terkorban dalam kemalangan ribut tersebut. Tetapi, para penduduk tersebut menafikan perkara tersebut dan mereka menyatakan kekesalan diatas kecelakaan yang menimpa ayahnya. Ini menyebabkan Morina tersedar bahawa beliau sebenarnya telah ditipu oleh lanun-lanun tersebut.

Keadaan ini menimbulkan rasa curiga kepada Lopic dan Chammy lalu mereka pun bergegas pulang untuk mencari Doraemon dan Nobita. Pada ketika itu juga, Nobita telah mendapat satu perasaan ganjil dan beliau membuat keputusan untuk pergi semula ke planet tersebut dengan Doraemon. Tetapi sebelum mereka sempat masuk ke lantai kayu tersebut, muncul pula Dorami secara mengejut dan menyebabkan mereka terpaksa menutup semula lantai kayu itu dan menyebabkan bom yang dipasang di pintu kapal Loppic meletup.

Loppic dan Chammy yang dalam perjalanan ke kapal mereka berasa terkejut kerana  berlaku letupan secara tiba-tiba yang memusnahkan kapal milik mereka tanpa diketahui puncanya. Loppic percaya yang letupan tersebut dilakukan oleh lanun-lanun tersebut dan beliau terus bergegas ke arah gunung yang sedang meletus bagi menyiasat punca sebenar kejadian ini berlaku. Di pihak Nobita pula, mamanya telah menjemput Suzuka ke rumah mereka bagi membantu Nobita mengulang kaji pelajaran, dan ini menyebabkan niatnya untuk membantu Loppic terbantut.

Namun keadaan tersebut berubah apabila Chammy telah datang berjumpa Nobita secara mengejut melalui lantai kayu di biliknya dan menceritakan masalah yang mereka hadapi. Perkara ini telah menambahkan semangat Doraemon dan Nobita yang nekad untuk menyelamatkan Loppic walaupun mereka menyedari bahaya yang bakal mereka berdua hadapi. Ketika itu juga, Loppic dan Morina telah berjaya ditangkap oleh lanun-lanun tersebut ketika mereka sedang menyiasat kejadian yang berlaku di kawasan pergunungan itu.

Doraemon dan Nobita telah bergegas pergi membantu Loppic dan menyebabkan Suzuka merasa bimbang terhadap keselamatan mereka sehingga memaksanya meminta pertolongan Giant dan Sunyo. Di masa yang sama, Loppic dan Morina telah dikurung oleh lanun tersebut. Ketika dikurung,  Morina sendiri telah membuat pengakuan kepada Loppic yang bahawa beliau lah yang memberitahu kepada lanun tersebut tentang laluan masuk ke dunia Nobita disebabkan keinginan untuk tahu tentang rahsia yang disembunyikan tentang bapanya oleh penduduk planet tersebut.

Doraemon, Nobita dan Chammy telah sampai ke kawasan gunung tersebut dan mendapati bahawa Loppic telah ditangkap oleh lanun. Doraemon telah mengeluarkan “Gyrocapsule” yang membolehkan mereka untuk menyamar sebagai batu.Alat tersebut telah digunakan untuk pergi menyelamatkan Loppic dan Morina tanpa disedari oleh lanun-lanun tersebut tetapi usaha tersebut sia-sia kerana penyamaran mereka akhirnya terdedah juga.

Ketua lanun tersebut telah mengarahkan semua konco-konconya supaya mengejar Doraemon dan Nobita . Tetapi, semua itu dapat diuruskan dengan mudah oleh Doraemon dan Nobita sehingga ketua lanun itu sendiri terpaksa masuk campur bagi menewaskan mereka berdua. Ketua lanun tersebut telah menggunakan sejenis alat yang bernama “batu graviti” bagi menyekat pergerakkan Doraemon dan Nobita dengan mengunakan Loppic dan Morina sebagai umpan untuk menjayakan perangkapnya itu.

Dalam keadaan cemas tersebut, muncul Giant dan Sunyo yang datang bagi membantu mereka dengan cara membaling batu ke arah kapal milik ketua lanun itu sehingga terhempas. Doraemon dan Nobita segera bergegas menaiki kapal lanun tersebut bagi menyelamatkan kawan mereka, tetapi secara tiba-tiba, ketua lanun tersebut telah keluar dan mencabar Nobita untuk bertarung menggunakan pistol.

Nobita telah menerima cabaran tersebut dan beliau  menang dalam perlawanan itu. Mereka kemudian berjaya melepaskan Loppic dan Morina, tetapi ketua lanun tersebut telah melepaskan tembakan mengejut terhadap Loppic namun berjaya dihalang oleh Morina sehingga menyebabkan tangannya cedera . Ketua lanun itu juga telah menekan suis bagi menghidupkan alat peletup planet tersebut sebelum beliau melarikan diri.

Doraemon dan rakan-rakan telah bertindak pantas dengan mengeluarkan bahan letupan daripada alat peletup planet tersebut menggunakan jentera milik lanun tadi dan membawanya ke lorong dimensi. Ini membolehkan bahan tersebut meletup di dalam ruang dimensi tanpa merosakkan planet Loppic. Tetapi masalah lain pula timbul, apabila jentera tersebut kehabisan tenaga dan disedut masuk ke dalam ribut tenaga. Mereka semua telah terdampar di planet yang tidak dikenali, iaitu planet yang sama di mana Nobita berada ketika beliau secara tidak sengaja jatuh ke lorong dimensi.

Disana, mereka telah menjumpai seorang lelaki yang tidak dikenali, yang mulanya dianggap sebagai raksasa oleh Nobita. Namun sebenarnya lelaki tersebut ialah Professor Wanz iaitu ayah Morina sendiri, yang dianggap sudah mati setelah terjatuh ke dalam ribut tenaga. Melihat perkara itu, Morina merasa sangat gembira kerana mendapati bahawa ayahnya masih hidup dan mereka akhirnya berpelukan.

Kemudian, mereka semua telah pulang ke planet Koya-koya semula dengan bantuan polis peronda masa dan disambut dengan gembira oleh penduduk disana. Manakala, ketua lanun dan konco-konconya telah ditahan oleh pihak polis peronda masa. Selepas itu, Doraemon dan rakan-rakannya terpaksa pulang semula ke planet mereka kerana lorong dimensi yang menghubungkan planet Koya-Koya dan bilik Nobita hampir lenyap. Mereka semua telah mengucapkan selamat tinggal kepada Loppic dan penduduk Koya-Koya sebelum pulang dan meneruskan hidup seperti biasa selepas itu.

 

Tamat

Pendapat Penulis

Pada pendapat saya, cerita Doraemon kali ini begitu mengagumkan kerana ia banyak menunjukkan sifat kasih-sayang dan semangat tolong-menolong terhadap orang lain yang wajar dijadikan contoh tauladan. Filem ini juga amat  jelas menunjukkan keberanian dan semangat jati diri yang kuat di dalam menempuh cabaran dan dugaan yang terdapat pada diri anak muda seperti Nobita, di mana ianya sangat jarang berlaku pada diri generasi muda masa kini. Semoga kita boleh mengambil pengajaran daripada filem ini.

Seperti biasa, penulis akan melampirkan rujukan di bawah bagi kemudahan pembaca yang ingin menonton sendiri filem ini.

NOTA

Penulis betul-betul berharap yang para pembaca yang telah membaca blog ini agar men “follow”  blog ini atau meletakkan status “like” di facebook serta menyebarkan mengenai blog ini kepada kenalan anda yang lain agar perkembangan blog ini dapat diteruskan.

Sekian Terima Kasih

YRC

LAMPIRAN

http://www.animehere.com/doraemon-movie-the-hero-2009.html

http://www.gogoanime.com/doraemon-movie-the-hero-2009

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s